Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Ilmu falak hasilkan rumusan efemeris serta cerapan lebih baik kenampakan anak bulan


PERISYTIHARAN awal Ramadan atau tarikh hari raya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu adalah detik ditunggu-tunggu untuk mendapatkan keputusan muktamad bermulanya puasa dan Aidilfitri.


Pengisytiharan permulaan bulan Islam di negara ini berdasarkan rukyah iaitu aktiviti melihat anak bulan pada hari ke 29 setiap bulan hijrah. Hari ini, bersamaan 29 Syaaban 1431 hijrah, pihak berkuasa membuat persiapan bagi menentukan tarikh 1 Ramadan.

Rukyah turut dilakukan pada hari ke 30 jika anak bulan tidak kelihatan hari sebelumnya bagi tujuan analisis dan rekod kerana tarikh awal bulan ditetapkan berdasarkan rukyah hari ke-29. Ada kalanya rukyah dilakukan pada petang 1 hari bulan baru jika anak bulan masih gagal dikesan hari sebelumnya kerana masalah cuaca. 

Hisab menurut pelaksanaan di Malaysia adalah aktiviti menghitung ‘efemeris' bulan dan matahari serta elemen berkaitan dan seterusnya melakukan analisis bagi membuat justifikasi sama ada anak bulan pada hari ke 29 suatu bulan hijrah itu, kelihatan atau sebaliknya. 

Hitungan hisab adalah berasaskan aktiviti cerapan (rukyah) yang dilakukan sekian lama sejak sebelum kedatangan Islam. Hasil cerapan ini dicatat dalam banyak manuskrip, disusun menjadi rumusan sains mengenai kenampakan anak bulan dan jangkaan mengenainya.

Read more: Ilmu falak hasilkan rumusan efemeris serta cerapan lebih baik kenampakan anak bulan

Rukyah dan hisab hanya wasilah bukan ghayah

Ini adalah soalan mengenai Hisab & Rukyat yang diterbitkan oleh Harakah  13-16 Ramadan 1431/23-26 Ogos 2010 yang ditujukan kepada Dato Dr Haron Din.                        

 

DATO', kita mula berpuasa dan barhari raya melalui melihat anak bulan. Apakah rukyah itu itu mutlak dan tidak boleh ditukarkan dengan hisab. Di zaman serba eanggih ini, tidakkah hisab falaqi lebih tepat berbanding dengan rukyah yang kadang kala tersasar dan bulan terlindung. Mengapa tidak diamalkan hisab sahaja. Apa pandangan Dato'?

MOHD BAKI ABDUL SAMAD Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

 

K ITA beribadah mengikut perintah Allah. Berpuasa dan berhari raya pun demikian juga. Perihal memulakan puasa dan ber­hari raya, sememangnya ada nas- nas syarak yang sahih, yang menyebut seeara umum, berpuasalah 'apabila ternampak anak bulan '(Ramadan) dan 'berhari rayalah apabila ternampak anak bulari (SyawaI).

Di atas itulah, rata-rata umat Islam, di mana sahaja,melaksanakan ibadah tersebut, mengikut cara tradisi sejakzaman Nabi Besar Muhammad s.a.w, sehingga ke hari ini. Lebih-lebih lagi di Timur Tengah, di Arab Saudi dan sebagainya, mereka menggunakan rukyah. .

  • Melihat anakbulan yang disebut rukyah, adalah sabit atas suruhan Nabi Muhammad s.a.w, seperti hadis daripada Abu Hurairah, Nabi bersabda (mafhumnya):

"Berpuasalah setelah kelihatan anak.bulan dan berbukalah (hari raya), setelah kelihatan anak bulan. Sekiranya anak bulan terlindung, maka sempurnakan bulan itu (Syaaban, 30 hari):' - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Ada hadis yang kedua daripada Ibnu Umar yang juga sahih, Rasulullah s.a.w bersabda (mafhumnya):       

"Sekiranya anak bulan terlindung, maka kamu takdirkanlah dia (ada atau tidak ada)"

Ertinya ada dua hadis yang berbeza tetapi amat signifikan.

Kedua-duanya memberi erti, ada yang perlu digenapkan 30 hari sebulan dan ada yang disebut takdirkanlah ia sama ada, ia ada atau tidak.

Yang ada isyarah kepada boleh ditentukan anak bulan itu melalui hisab.

Sebab yang genapkan anak bulan itu 30 hari disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan sabdanya (mafhumnya):

"Kami adalah umat ummiy (tidak pandai membaca dan menulis) bulan Islam itu kadang ­kadang 29 hari, kadang-kadang 30 hari"

 Oleh kerana itu fukaha Islam dari dahulu hingga sekarang, tidak pernah selesai mem­bicarakan permasalahan ini, sama ada boleh menggunakan hisab semata-mata atau hisab yang digandingkan dengan rukyah.


Read more: Rukyah dan hisab hanya wasilah bukan ghayah

Fenomena Astronomi Bulan Februari 2010

Fenomena Astronomi Februari 2010

 

Sebelum kita membicarakan fenomena langit bagi bulan Februari, saya ingin menarik perhatian pembaca berhubung dengan satu peristiwa  bersejarah  mengenai penerokaan angkasa lepas yang berlaku di dalam bulan Februari. Empat puluh empat tahun yang lalu pada tanggal 3 Februari 1966, pihak Kesatuan Soviet (USSR) telah berjaya mendaratkan proba Luna 9  di permukaan Bulan buat pertama kalinya dalam sejarah.  Luna 9 adalah proba tanpa manusia dengan beratnya 99 kg telah mendarat di Oceanus Procellarum yang merupakan  maria yang terbesar di Bulan. Maria ini boleh dilihat dengan mata kasar di malam hari dari Bumi. Luna 9 telah berjaya mengambil gambar permukaan Bulan secara dekat dan mengirimkannya ke Bumi. Peristiwa tersebut telah merancakkan usaha untuk manusia mendarat di permukaan Bulan dan akhirnya pihak NASA telah berjaya mendaratkan manusia yang pertama di permukaan Bulan pada tahun 1969.

Bulan ini  banyak fenomena astronomi yang menarik berlaku di langit untuk kita saksikan. Langit malam bulan ini  dihiasi  dengan bintang-bintang yang terang, buruj-buruj, bulan dan planet. Buruj Orion atau Pemburu mendominasi langit malam bulan ini. Ia berada di tengah langit pada jam 10.00 malam di awal bulan. Tiga bintang sebaris terdiri dari Mintaka, AlNilam (tengah) dan Alnitak mudah dikenali. Berhampiran di sebelah selatan dengan buruj ini ialah buruj Canis Major atau anjing besar yang terkenal dengan bintang yang paling terang di langit, Sirius. Buruj Taurus juga terletak bersebelahan dengan buruj Orion, buruj ini mudah dikenali dengan bintang yang berwarna merah, Aldebaran. Saiz bintang ini   yang sangat besar, 44 kali diameter Matahari.

Selain itu buruj Gemini pula terletak berhampiran di sebelah utara buruj Orion. Buruj ini mengandungi dua bintang cerah iaitu Castor dan Pollux yang digambarkan sebagai dua kepala adik beradik kembar. Berhampiran dengannya pula ialah buruj Canis Minor dengan bintang Procyon bintang yang paling terang di dalamnya. Manakala di bahagian timur langit dihiasi oleh buruj Leo dengan bintang Regulus bintangnya yang paling terang.

Di langit selatan pula dihiasi oleh buruj Carina dengan bintang Canopus sebagai bintangnya yang cerah. Turut menghiasi langit selatan ialah buruj Eridanus yang mempunyai bintang Achernar, bintang yang ke-9 paling terang di langit.

 Pada awal bulan ini,  Bulan menghiasi langit dengan fasa suku akhir. Bulan terbit di ufuk timur selepas kira-kira  dua jam Matahari terbenam di ufuk barat. Permukaan bulan yang kelihatan kurang  50% dari keseluruhan permukaan Bulan. Sekitar jam 11 malam, 2 Februari, Bulan dan planet Zuhal muncul di ufuk timur, kedua-duanya  kelihatan berdekatan dengan sudut pisahan 7 darjah. Kedua-dua objek ini berada di tengah langit pada jam 4.30 pagi 3 Februari.  Pada kedudukan ini lebih mudah untuk mencerap Zuhal dengan mata kasar atau binokular.

Pada sekitar 2.35 pagi, 8 Februari,  kita akan dapat menyaksikan Bulan terbit bersama-sama dengan  bintang Antares di ufuk timur. Bintang Antares berwarna merah, bintang yang paling cerah dalam buruj Scorpio. Antares adalah bintang yang bersaiz sangat besar, jejarinya 800 kali jejari Matahari. Jika dibandingkan saiz diantara keduanya Matahari kelihatan seperti satu titik.  Pada pagi tersebut Bulan dan Antares  kelihatan berdekatan, mereka berada pada pisahan sudut 1.5 darjah.  Ini satu pandangan yang menarik yang boleh dilihat dengan mata kasar di awal pagi. Sebelum waktu subuh  kedua-duanya berada pada altitud 35 darjah dari ufuk. 

Pada 12 Februari,  Bulan berada dalam fasa sabit tua, dalam taqwim Islam ini adalah hujung bulan Safar tahun 1431 Hijri. Selepas waktu subuh jika ufuk timur  tidak berawan atau berkabus kita akan dapat menyaksikan Bulan sabit  dan planet Utarid berada berdekatan.  Utarid adalah planet yang paling dekat dengan Matahari yang hanya boleh dilihat dengan mata kasar diawal pagi atau senja. Pada pagi tersebut kedua-duanya berada pada jarak pisahan 2.3 darjah.

Pada 10.00pagi 13 februari, Bulan berada pada jarak 406,504km kedudukan paling jauh dari Bumi dalam tahun 2010. Jarak Bulan-Bumi tidak tetap, jarak tersebut sentiasa berubah semasa Bulan mengorbit Bumi. Ada ketikanya ia berada dekat dengan Bumi dan ada ketika jaraknya paling jauh dari Bumi.

Pada 14 Februari, adalah hari cerapan hilal bulan Rabiul Awal 1431 Hijri taqwim Islam. Hilal ialah fasa bulan yang paling awal selepas Ijtimak (new moon) dan bentuknya seperti sabit yang halus. Hilal berada pada altitud 1 darjah dari ufuk pada petang ini. Pada altitud ini hilal sukar untuk dilihat kerana terlalu rendah dengan ufuk. Pada keesokkan hari selepas Matahari terbenam, bulan berada pada altitud 10 darjah dari ufuk. Jika keadaan ufuk barat cerah, ia  boleh dilihat dengan mata kasar, pembaca boleh mencuba. Jika asas taqwim Islam berdasarkan pergerakan Bulan, begitu juga dengan taqwim Cina. Permulaan taqwim Cina bergantung kepada Ijtimak yang berlaku dalam bulan Januari - Februari. Justeru itu tahun baru Cina 2010 jatuh pada 14 Februari dan tahun 2010 adalah tahun harimau. 

Pada malam 21 Februari,  Bulan menghampiri fasa separuh, pada malam ini ia kelihatan hampir dengan gugusan bintang yang dikenali dengan bintang tujuh beradik atau Pleaides. Gugusan bintang ini adalah diantara gugusan bintang yang hampir dengan Bumi dan dikenali dalam banyak tamaddun seperti Parsi, India dan Islam. Dalam tamaddun Islam ia dikenali sebagai As-Surayya. Dengan mata kasar gugusan bintang ini kelihatan berdekatan antara satu sama lain.

Pada 26 Februari, pada malam ini Bulan kelihatan hampir dengan planet Marikh, sudut pisahan di antara keduanya sekitar lapan darjah. Kedua-dua objek ini boleh dilihat di langit timur diawal malam, di tengah langit ketika tengah malam dan terbenam di ufuk barat sekitar jam 5.00 pagi. Planet Marikh kelihatan seperti bintang berwarna merah di sebelah kiri atas Bulan. Manakala di sebelah bawah Bulan kelihatan bintang Asellus Australis dalam buruj Cancer. Keduanya kelihatan sangat dekat, sudut pisahan antara keduanya sekitar 1.5 darjah.

Galaksi Bima Sakti juga menghiasi langit bulan ini, ia kelihatan seperti jaluran awan putih yang malap merentasi dari langit Tenggara hingga ke Barat-laut. Ia boleh dilihat dengan mata kasar jika langit cerah dan tempat cerapan yang gelap yang tiada gangguan cahaya.atau cahaya Bulan.

Fenomena astronomi Februari 2010 diakhiri dengan kehadiran  Bulan purnama dengan cahayanya yang terang menyinari sepanjang malam.

Bagi mengenali objek-objek langit bulan ini kita boleh menggunakan peta bintang seperti di muka sebelah. Peta bintang ini menunjukkan bintang, planet, buruj dan galaksi Bima Sakti. Saiz bintang menunjukkan kecerahan, bintang yang cerah ditunjukkan dengan saiz titik yang besar. Bintang yang ditunjukkan adalah bintang-bintang yang cerah dengan magnitud  kurang dari 4.

Peta bintang ini boleh digunakan untuk pada jam 10.00 malam pada awal Februari, 9.00 malam di pertengahan Februari dan 8.00 malam di akhir Februari. Planet yang ditunjukkan untuk pertengahan Februari.

Panduan cerapan langit malam  menggunakan peta bintang;

Cerapan  langit utara

i. Berdiri menghadap arah Utara. ii. Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label A dan tangan kiri di label B peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Utara di peta bintang sama arah dengan Utara sebenar.

Anda akan dapati bintang yang di tengah peta bintang adalah bintang di atas kepala. Bintang yang dekat dengan garisan ufuk peta bintang berada rendah dengan ufuk sebenar. Mulakan mengenali bintang dengan bintang yang cerah dan mudah dikenali. Seterusnya anda boleh mengenali planet, bintang dan buruj menggunakan peta bintang tersebut.

Cerapan langit selatan

i. Berdiri menghadap arah selatan. ii. Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label B dan tangan kiri pegang di label A peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Selatan di peta bintang sama arah dengan Selatan sebenar.

Cerapan langit malam perlu dilakukan pada malam yang cerah, kurang berawan atau mendung. Hindari dari gangguan cahaya lampu dengan menutup lampu luar atau halaman. Apabila kita berada dalam persekitaran yang gelap kita akan dapat melihat langit dengan lebih baik. Tunggu beberapa minit sehingga mata kita dapat menyesuaikan dalam keadaan gelap. Lebih lama kita dalam keadaan gelap lebih banyak bintang yang akan dapat di lihat.


Peta bintang untuk bulan Februari 2010

 

 

 

Read more: Fenomena Astronomi Bulan Februari 2010

You are here: Home All Articles Berita Solar System