Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Hilal penentu Ramadan

Bulan ini umat Islam akan menyambut bulan yang mulia mengikut taqwim Islam, bulan Ramadan tahun 1434H. Bulan ini dinantikan oleh orang yang beriman kerana bulan ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Ini satu-satunya bulan yang disebut di dalam Al-Quraan (Al-Baqarah :185). Di antara keistimewaan Ramadan ialah dijanjikan rahmat, keampunan dari Allah serta pembebasan dari api neraka bagi orang yang beriman.

 


Dalam Islam, awal bulan taqwim Hijri ditentukan dengan kenampakan hilal. Hilal ialah fasa bulan selepas ijtimak atau selepas bulan melengkapkan satu edaran sinodis mengelilingi Bumi. Ia adalah sebahagian kecil dari permukaan Bulan yang bercahaya yang boleh dilihat dan boleh dirakam secara digital atau analog. Ia kelihatan seperti satu lengkuk cahaya (seperti sabit) yang boleh dilihat selepas Matahari terbenam di ufuk barat.
Amalan melihat hilal untuk menentukan awal Ramadan dan Syawal adalah satu tuntutan ibadah sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadis yang bermaksud; “ Berpuasalah kamu sekelian kerana melihat hilal dan berbukalah kamu sekelian kerana melihat hilal. Bila hilal itu tertutup awan atasmu, maka takdirkanlah ia tiga puluh hari”(Riwayat Muslim)
Bagaimanakah cara untuk melihat atau rukyah hilal? Bagi mencerap hilal hendaklah dilakukan pada hari ke 29 haribulan mengikut taqwim Hijri selepas terbenam Matahari. Dalam sistem taqwim Hijri hari baru bermula selepas terbenam Matahari. Satu bulan dalam sistem taqwim ini mengandungi 29 atau 30 hari. Hari yang ke-29 adalah hari penentu samada bulan itu mengandungi 29 atau 30 hari. Ia ditentukan dengan kenampakan hilal pada hari ke-29. Jika hilal kelihatan bulan itu mengandungi 29 hari sahaja dan jika tidak kelihatan digenapkan menjadi 30 hari. Kewujudan atau kelahiran hilal berlaku selepas fenomena Ijtimak pada hari ke-29. Ijtimak adalah kedudukan Bumi, Bulan dan Matahari berada pada satu satah meridian yang sama iaitu apabila Bulan berada diantara Matahari dan Bumi berada dalam satu garis lurus. Jika waktu ijtimak berlaku sebelum Matahari terbenam pada hari ke 29 hilal dikatakan telah lahir. Jika ijtimak berlaku selepas Matahari terbenam pada hari tersebut hilal belum lahir.
Jika hilal telah lahir belum tentu ia boleh kelihatan. Faktor kelihatan hilal bergantung kepada sifat fizikal hilal, umur hilal, kontras, lama di atas ufuk, mata pencerap, alat optik dan keadaan cuaca semasa cerapan. Diantara sifat fizikal hilal ialah lebar hilal, cahaya hilal dan lengkuk hilal.
Umur hilal dikira dari waktu ijtimak sehingga terbenam Matahari atau waktu cerapan. Sebagai contoh jika ijtimak berlaku pada jam 7.00 pagi, 29 haribulan dan Matahari terbenam jam 7.00 petang, maka umur hilal ialah 12 jam. Jika umur hilal melebihi dari 15 jam, peluang untuk hilal kelihatan lebih cerah walau bagaimanapun bergantung kepada faktor cuaca. Jika hujan, berawan, berjerbu atau mendung akan menghalang hilal dapat dilihat. Rekod umur hilal paling muda yang dapat dilihat dengan mata kasar ialah 15 jam 33 minit oleh John Pierce di Tennense, USA pada 25 Febuari 1990 bagi hilal Sya’aban 1410.
Saiz hilal sangat halus dan cahayanya hilal sangat malap berbanding dengan cahaya langit yang cerah walaupun Matahari telah terbenam. Dengan hal demikian menjadi satu cabaran untuk melihatnya dengan mata kasar terutama bagi mereka yang pertama kali mencuba mencerap. Dengan menggunakan alat optik seperti binokular atau teleskop dapat membantu dan memberi
peluang kenampakan hilal yang lebih baik. Terlebih dahulu sebelum cerapan, kedudukan hilal hendaklah diketahui iaitu berapakah altitud (ketinggian) hilal di atas ufuk dan azimut (bukaan sudut dari utara). Altitud hilal biasanya kurang dari 15 darjah dari ufuk dan azimuth hilal di antara 247 hingga 293 darjah pada hari ke-29 atau 30 Hijri.
Bagi melakukan rukyah kita perlulah terlebih dahulu mengetahui data-data Matahari dan Bulan pada hari ke 29. Data-data yang perlu diketahui ialah waktu Ijtimak, umur Hilal, altitud (tinggi) dan jarak lengkung Hilal-Matahari. Data-data ini boleh dihitung atau diperolehi dari almanak seperti Almanak Falak yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam(JAKIM).
Bagi menentukan awal Ramadan 1434H, cerapan atau rukyah hendaklah dilakukan pada 29 Rejab (bersamaan 8 Julai 2013).
Pada 8 Julai 2013, Ijtimak berlaku pada jam 15.09. Ini menunjukkan ijtimak berlaku sebelum Matahari terbenam. Ini bermakna hilal telah lahir. Jika ia telah lahir adakah ia boleh dilihat? Untuk itu perlu disemak umur hilal dan waktu terbenam Bulan. Dari data di dapati umur hilal 4 jam 17 minit dan waktu hilal terbenam hampir sama dengan Matahari terbenam. Ini bermakna hilal tidak ada di atas ufuk selepas Matahari terbenam. Dengan hal demikian tidak mungkin kita dapat melihat hilal Ramadan 1434. Dengan itu bulan Rejab 1434 digenapkan menjadi 30 haribulan (bersamaan 9 Julai) dan 1 Ramadan akan jatuh pada 10 Julai 2013.

You are here: Home Teleskope Dr.Kassim Hilal penentu Ramadan