Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Fenomena Astronomi September 2010

Istiqbal Musytari dengan Bumi

September ini bulan yang meriah kerana sambutan hari raya Adil Fitri 1431 yang disambut oleh umat Islam, jatuh dalam bulan ini.  Dari hitungan yang dibuat, Bulan  akan mengalami Ijtimak pada jam 18:30; 8 September 2010 bersamaan 29 Ramadhan 1431. Ijtimak kali ini berlaku pada kedudukan Bulan mengalami perigee (perigee ialah kedudukan Bulan paling dekat dengan Bumi).  Bulan pada kedudukan perigee boleh menyebabkan air laut mengalami pasang besar. Pada hari 29 Ramadhan  merupakan hari rukyah(cerapan) , pada petang hari ini umat Islam digalakkan mencerap hilal bagi menentukan bilakah bermulanya 1 Syawal. Pada petang 8 September, bulan baru berumur 44 minit ketika Matahari terbenam di Tanjung Bidara Melaka dan Bulan terbenam lebih dahulu dari Matahari. Jika Bulan terbenam lebih dahulu dari Matahari, hilal tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk. Di Malaysia satu jawatankuasa rukyah yang telah dilantik oleh pihak berkuasa untuk pergi mencerap  hilal pada petang 29 Ramadhan. Sebanyak 29 lokasi di seluruh negara telah ditentukan untuk cerapan hilal, jawatankuasa tersebut akan melakukan cerapan di lokasi berkenaan pada petang tersebut, sekiranya hilal dapat dilihat selepas ghurub,  malam itu bermulalah 1 Syawal. Sebaliknya jika tidak kelihatan umat Islam akan mengenapkan puasa Ramadhan menjadi 30 hari. Pada petang 29 Ramadhan tersebut, bulan terbenam lebih awal dari Matahari. Keputusan cerapan akan diserah kepada Majlis Raja-raja  oleh jawatan kuasa tersebut dan pengumumam akan dibuat oleh penyimpan mohor besar Raja-raja, bilakah permulaan 1 Syawal.

Dalam kemeriahan umat Islam menyambut hari raya di bulan Syawal, berlaku beberapa fenomena astronomi di langit. Diantara fenomena yang ditonjolkan dan tersenarai sebagai fenomena menarik pada September ini ialah istiqbal (opposition) Musytari. Jika pada 22 Mac telah berlaku istiqbal Zuhal (lihat Dewan Kosmik Mac 2010), pada 21 September ini berlaku istiqbal Musytari. Istqbal ialah fenomena apabila kedudukan jasad samawi dalam keadaan bertentangan dengan Matahari dilihat dari Bumi atau sudut longitud samawi ialah 180 darjah. Planet Musytari merupakan planet yang kelima dari Matahari dan yang paling besar dalam sistem suria dengan diameter 143,000 km dan isipadunya 1321 kali ganda Bumi. Istiqbal Musytari ini adalah yang paling menarik dalam tempoh pusingan orbitnya 12 tahun (lebih tepat lagi 11.86 tahun). Ini bermakna ia bergerak dalam tempoh satu tahun ialah 1/12 bahagian dari orbitnya di langit. Dalam tempoh tersebut ia melalui satu kawasan buruj zodiac dan tahun 2010 ia berada secara puratanya dalam buruj Aquarius. Buruj Aquarius terletak di antara buruj Capricon dan Pisces.  Istiqbal kali ini orbit Musytari hanya satu darjah selatan dari ikliptik (laluan Matahari) dan jaraknya lebih dekat dibandingkan dengan jarak purata dari Matahari. Jarak puratanya dari Matahari ialah 5.2 A.U (1 A.U ialah jarak Bumi-Matahari, 150,000,000 km). Oleh itu planet ini kelihatan lebih besar dan terang kali ini. Saiznya ialah 50"  dan magnitudnya ialah -2.9. Dengan magnitud tersebut menjadikan ia objek yang paling terang di langit sepanjang malam selain Bulan. Istiqbal Musytari kali ini berlaku pada jam19:00 waktu tempatan 21 September. Ia berada tinggi di langit pada altitud 72 darjah di tengah  malam dan boleh dilihat sepanjang malam. Pada malam ini turut diterangi oleh cahaya Bulan kerana Bulan hampir purnama.

Dengan menggunakan binokular atau teleskop kecil kita boleh melihat jaluran di planet ini. Jaluran ini mudah dilihat terdapat di tengah atau khatulistiwa, di utara dan selatan khatulistiwa planet ini. Jaluran ini sebenarnya adalah atmosfera Musytari. Planet ini merupakan satu bebola gas yang besar yang terdiri dari terutamanya gas Hidrogen dan Helium dan berputar dengan laju. Kelajuan putarannya sedikit berbeza di khatulistiwa dengan di utara dan selatan khatulistiwa. Ini mengakibatkan jaluran awan di atmosfera.  Jaluran ini selari dengan khatulistiwa planet ini dan dibahagikan kepada beberapa band yang berwarna.  Band yang cerah dinamakan zon dan yang gelap dinamakan tali pinggang (belts).

Satu lagi ciri menarik yang boleh dilihat di atmosfera planet ini ialah tompok raksaksa merah (great red spot).  Tompok ini berbentuk bujur terletak di tali pinggang, 22 darjah selatan khatulistiwa. Saiz tompok ini sangat besar, sebab itu ia dipanggil tompok raksaksa, lebar Utara-Selatan ialah 14,000km dan Timur-Barat diantara 24,000 - 40,000 km. Tompok ini sebenarnya adalah ribut anti siklon dengan arah putaran lawan arah jam dan putaran awan ribut ini mencapai ketinggian sehingga 8 km. Dari pemerhatian yang telah dibuat oleh saintis saiz tompok ini telah berkurangan, sehingga kini saiznya hanya separuh jika dibandingkan dengan 100 tahun dahulu. Dengan menggunakan teleskop kecil kita boleh melihat empat satelit utamanya iaitu Io, Europa, Ganymede dan Callistro mengikut susunan jarak dari Musytari. Io paling dekat dan Callistro paling jauh dengan jarak 420,000 km dan 1,880,000 km masing-masing. Sehari selepas istiqbal, satelit Europa melintasi Musytari dan menyebabkan bayangnya jatuh ke atas atmosfera planet ini, sama seperti kejadian gerhana Matahari di Bumi apabila bayang Bulan jatuh ke atas permukaan Bumi.

mustaribumi

Kedudukan Musytari, Bumi dan Matahari ketika Istiqbal

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

jupitertompok

 

 

Planet Musytari : Terdapat jaluran gelap dan cerah serta tompok raksaksa merah di atmosfera planet ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

    

Sehari selepas Istiqbal, 22 September, Planet Uranus jiran selepas Musytari mengalami Istiqbal. Fenomena ini berlaku pada jam 01:00 waktu tempatan. Ini adalah peluang terbaik

untuk menyaksikan Uranus pada tahun ini.  Uranus dan Musytari kelihatan berhampiran pada sudut yang kurang dari satu darjah.  Kedua-duanya boleh dilihat berdekatan di dalam teleskop kecil dan mereka berada tinggi di langit ketika tengah malam. Uranus kali ini boleh dilihat dengan magnitud 5.7 dan saiz 3.7".

Pada 23 September, Matahari mengalami equinox. Matahari bergerak di laluan ekliptk dari hemisfera Utara dan melintasi khatulistiwa seterusnya bergerak ke hemifera selatan. Semasa ia tiba di Khatulistiwa, dinamakan equinoks. Semasa equinoks semua bahagian di Bumi mengalami siang dan malam sama panjang. Tempat yang terletak di garisan Khatulistiwa seperti di Pontianak di Kalimantan, akan mengalami Matahari tepat di Zenith ketika tengah hari. Ekuinoks kali ini  berlaku  hampir sama dengan  fasa Bulan purnama. Pada sebelah malamnya kita akan melihat Bulan purnama yang terbit hampir sama dengan terbenam Matahari pada hari tersebut. Bulan purnama yang berlaku  hampir sama dengan equinoks dinamakan bulan menuai, kerana cahaya Bulan purnama memberi lebih masa kepada petani untuk menuai hasil tanaman selepas terbenam Matahari.

Pada awal September, bermula dari 1 haribulan sehingga beberapa hari kemudian, planet Zuhrah, bintang Spica dan Marikh berada berhampiran di langit Barat selepas ghurub Matahari. Pada 1 September Zuhrah kelihatan hampir dengan Spica pada sudut pisahan 1 darjah. Pada tarikh tersebut, Zuhal juga boleh dilihat di langit Barat tetapi berada pada altitud yang lebih rendah, iaitu 23 darjah dari ufuk.

Fenomena yang menarik pada 11 September, selepas Matahari terbenam jam 19:12 di ufuk Barat kita berpeluang melihat Bulan sabit dan planet Zuhrah berdekatan di langit. Bulan sabit berada pada altitud 33 darjah dari ufuk. Zuhrah berada pada sudut pisahan 1.80 darjah di atas Bulan sabit. Ia kelihatan seperti sebutir bintang yang terang di pinggir Bulan sabit.

sept2010

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

11 September; Bulan sabit, Zuhrah, Marikh, bintang Spica dan Zuhal    berada di langit Barat selepas Matahari terbenam

 

 Beberapa buruj menarik menghiasi langit pada bulan ini, di langit Utara buruj Pegasus mudah dikenali kerana empat bintang kelihatan seperti segiempat besar di langit. Markab salah satu bintang yang terang dalam buruj ini. Selain itu buruj Cygnus kelihatan seperti angsa terbang berada di tengah langit, bintang Denab adalah bintang yang terang bagi buruj ini dengan magnitud 1.25. Buruj Lyra walaupun kecil tetapi menarik kerana memiliki bintang Vega yang terang dengan magnitud 0.03. Manakala bintang Arcturus bintang yang keempat terang di langit dalam buruj Bootis telah berada rendah  di langit Barat.

Manakala di langit selatan, buruj Libra, Scorpio dan Sagitarius masih lagi menghiasi langit selatan. Bintang Antares, bintang berwarna merah  menjadi panduan untuk mengenali buruj Scorpio mudah dilihat. Bintang Formalhaut yang bintang terang dalam buruj Piscis Austrinus juga menghiasi langit selatan.

Diawal pagi langit timur turut dihiasi oleh buruj Orion atau pemburu yang mudah dikenali dan menjadi panduan bagi umat Islam untuk mengganggarkan arah kiblat. Begitu juga bintang Sirius bintang paling terang di langit dalam buruj Canis Major juga dapat dilihat dengan mudah.

Jaluran galaksi Bima Sakti merentasi langit dari Barat-daya hingga ke Timur-laut  dan boleh dilihat dengan mata kasar sekiranya langit tidak berawan dan tiada gangguan dari cahaya lampu atau Bulan. Ia kelihatan seperti awan nipis dan jika dilihat dengan binokular kita akan nampak bertaburan bintang-bintang yang kelihatan amat halus.

Bagi mengenali objek-objek langit bulan ini kita boleh menggunakan peta bintang September 2010. Peta bintang ini menunjukkan bintang, planet, buruj, dan galaksi Bima Sakti. Fasa-fasa bulan yang ditunjukkan merujuk kepada tarikh yang dilabelkan. Saiz bintang menunjukkan kecerahan, bintang yang cerah ditunjukkan dengan saiz titik yang besar. Bintang yang ditunjukkan adalah bintang-bintang yang cerah dengan magnitud  kurang dari 4. Peta bintang ini boleh digunakan untuk langit di Malaysia pada jam 10.00 malam pada awal September, 9.00 malam di pertengahan September dan 8.00 malam di akhir September. Planet yang ditunjukkan untuk awal September.

 

Panduan cerapan langit malam  menggunakan peta bintang;

Cerapan  langit utara

  • Berdiri menghadap arah Utara.
  • Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label A dan tangan kiri di label B peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Utara di peta bintang sama arah dengan Utara sebenar.

Jika  mencerap diawal bulan September, jam 10.00 malam, anda akan mendapati bintang Vega di tengah peta bintang adalah objek di langit barat. Cuba kenali buruj Pegasus yang mempunyai bentuk seperti satu segiempat besar di langit timur. Mulakan mengenali bintang dengan bintang yang cerah dan mudah dikenali seperti Vega dan Arcturus. Seterusnya anda boleh mengenali planet, bintang dan buruj menggunakan peta bintang tersebut.

Cerapan langit selatan

  • Berdiri menghadap arah selatan. Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label B dan tangan kiri pegang di label A peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Selatan di peta bintang sama arah dengan Selatan sebenar. Jika cerapan diawal September, kita boleh melihat buruj Sagitarius dan Scorpio.

Cerapan langit malam perlu dilakukan pada malam yang cerah, kurang berawan atau mendung. Hindari dari gangguan cahaya lampu dengan menutup lampu luar atau halaman. Apabila kita berada dalam persekitaran yang gelap kita akan dapat melihat langit dengan lebih baik. Tunggu beberapa minit sehingga mata kita dapat menyesuaikan dalam keadaan gelap. Lebih lama kita dalam keadaan gelap lebih banyak bintang yang akan dapat di lihat.

sept10sky  

 

 

 

You are here: Home Teleskope Dr.Kassim Fenomena Astronomi September 2010