Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Fenomena Astronomi Ogos 2010

Hujan Meteor

 

Pernahkah anda tiba-tiba terlihat coretan cahaya yang terang dan bergerak sangat laju dalam masa yang sangat pantas di langit malam yang cerah? Coretan cahaya yang anda lihat itu sebenarnya adalah  meteor. Meteor adalah coretan cahaya akibat dari meteoroid memasukki atmosfera Bumi. Disebabkan ia bergerak sangat laju dengan kelajuan diantara 11 hingga 74 kilometer sesaat menyebabkan ia mengalami geseran dengan udara seterusnya ia akan terbakar dan meruap. Kebanyakan meteoroid yang menyebabkan meteor adalah bersaiz kecil seperti ketulan batu jalan. Meteor biasanya terjadi pada lapisan mesosfera pada altitud diantara 75 km hingga 100 km. Bulan Ogos ini diramalkan akan berlaku meteor yang dinamakan meteor Perseid. Dijangkakan mulai hujung Julai hingga ke pertengahan Ogos kita boleh melihat banyak meteor pada langit malam dan kemuncak meteor Perseid  ini ialah pada tarikh 12-13 Ogos. Tahun ini dikatakan sebagai tahun yang paling baik untuk mencerap meteor Perseid kerana pada tarikh tersebut langit tiada cahaya Bulan. Cahaya Bulan dan lampu yang terang menghalang kita melihat coretan cahaya meteor tersebut. Dari manakah asalnya meteor Perseid? Sebenarnya meteor Perseid ini berasal dari sisa peninggalan komet Swiff-Tuttle. Komet ini telah ditemui oleh dua orang ahli astronomi iaitu Lewis Swift dari Marathon, New York, USA pada 16 Julai 1862 dan  Horace Parnell Tuttle dari Balai Cerap Kolej Harvard di Cambridge, Massachusetts, USA pada 19 Julai 1862. Kemudiannya komet ini dinamakan Swiff-Tuttle sempena nama dua orang penemu komet tersebut. Setiap tahun apabila Bumi  melintasi bekas laluan orbit komet ini, sisa komet akan merempuh atmosfera Bumi dan menyebabkan meteor terjadi. Meteor ini dinamakan Perseid sempena buruj Perseus di mana di buruj inilah kita akan melihat meteor ini berpunca.

Pada kemucak meteor ini pada 12-13 Ogos dijangka kita boleh melihat bilangan meteor yang banyak diantara 60 hingga 100 meteor setiap jam. Bagaimanakah cara untuk melihatnya? Pilih tempat yang lapang dan gelap yang tiada pencemaran cahaya dari lampu jalan atau lampu limpah, semakin kurang pencemaran cahaya semakin jelas kita dapat melihat meteor. Boleh mulakan mencerap pada lewat malam sehingga subuh kerana dijangka meteor ini akan banyak dalam waktu dan tarikh tersebut. Untuk lebih selesa kita boleh mencerap sambil berbaring dan lihat di bahagian langit Utara. Mencerap meteor tidak memerlukan teleskop, cukup dengan mata kasar sahaja. Cerapan juga boleh dilakukan  sehari sebelum atau selepas dari tarikh kemuncak tersebut. Sambil mencerap rekodkan berapa banyak bilangan meteor yang anda dapat lihat pada malam itu. Kita juga boleh merakamkan meteor ini dengan menggunakan kamera digital, jika ada kamera digital SLR lebih baik. Fokuskan kamera anda kepada infiniti dengan dedahan selama beberapa minit. Fenomena meteor yang banyak mencurah memasukki atmosfera  dalam satu masa  juga dinamakan sebagai hujan meteor. Pengalaman menyaksikan hujan meteor ini cukup menarik, oleh itu jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena ini. Walau bagaimanapun fenomena ini bergantung kepada keadaan cuaca dan kejenihan langit malam tersebut, jika cuaca mendung atau hujan atau berjerebu akan menghalang kita untuk melihat fenomena ini.

meteor

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

meteor2

Pada 10 Ogos bersamaan 29 Syaaban 1431, umat Islam di seluruh dunia akan menentukan bilakah permulaan awal Ramadhan 1431H. Ada negara yang menentukan dengan cara hisab dan sebahagian negara yang lain dengan cara rukyah atau cerapan hilal. Bagi amalan negara kita, permulaan awal Ramadhan ditentukan secara hisab dan rukyah. Pada petang 10 Ogos, pihak yang bertanggungjawab akan pergi melakukan rukyah di tempat-tempat yang telah diwartakan. Pada petang tersebut,  umur hilal ialah 8 jam 16 minit manakala altitudnya ialah 1 darjah 38 minit. Pengumuman akan dibuat pada malam itu bilakah permulaan awal Ramadhan 1431H.

Pada bulan ini kita juga berpeluang melihat himpunan menarik planet-planet dan Bulan di ufuk Barat selepas Matahari ghurub. Pada 7 Ogos, planet Utarid, Zuhrah, Marikh dan Zuhal serta bintang Regulus dalam buruj Leo akan bersusun secara bertingkat. Bintang Regulus berada paling rendah diikuti oleh Utarid, Zuhrah, Zuhal dan Marikh. Ini adalah peluang yang baik untuk kita melihat planet Utarid kerana ia berada pada kedudukan yang agak tinggi dari ufuk iaitu pada altitud 24 darjah. Diantara empat planet ini, Zuhrah akan kelihatan paling cerah (dengan magnitud -4.24), diikuti Utarid, Zuhal dan Marikh. Zuhrah kelihatan seperti bintang yang sangat terang di langit Barat pada petang itu dan Marikh kelihatan seperti bintang kecil berwarna merah. Manakala Zuhal kelihatan seperti bintang berwarna kekuningan dan Utarid seperti bintang kecil dengan magnitud 0.4. Sudut pisahan di antara Zuhrah dan Zuhal ialah 3 darjah. Sebelum itu pada 1 Ogos, Marikh dan Zuhal akan berdampingan paling rapat dengan sudut pisahan hanya 2 darjah. Manakala Zuhrah berdampingan dengan bintang Zavijaya pada sudut pisahan 3 darjah.

ogos1

Pada 13 Ogos, kita akan dapat menyaksikan bulan sabit 4 Ramadhan berdekatan dengan planet zuhrah dan Marikh. Kedua-dua planet tersebut akan berada di sebelah kanan atas Bulan sabit. Sudut pisahan diantara Bulan sabit dengan Zuhrah ialah 4 darjah. Planet Zuhrah dan Marikh akan berdampingan sehingga 25 Ogos dan paling hampir pada 19 Ogos dengan sudut pisahan mereka hanya 1.86 darjah.

Manakala pada akhir Ogos, 29 sehingga 31 Ogos, Zuhrah, Marikh dan bintang Spica akan berdekatan antara satu sama lain. Pada 31 Ogos, Zuhrah akan berada paling hampir dengan bintang Spica pada sudut pisahan hanya 1 darjah, mereka kelihatan seperti bintang kembar tetapi Zuhrah lebih cerah dari Spica. Bintang Spica adalah bintang yang paling cerah dalam buruj Virgo dan yang ke-15 paling cerah di langit. Bintang ini terletak pada jarak sejauh 260 tahun cahaya dari Bumi. Sebelum itu pada 14 Ogos, Spica kelihatan berdekatan dengan Bulan sabit 5 Ramadhan, sudut pisahan di antara keduanya ialah 4 darjah.

Planet Musytari pula menghiasi langit di sebelah Timur. Planet ini menguasai langit malam Ogos ini sebaik saja Zuhrah, Marikh dan Zuhal terbenam di ufuk Barat. Ia boleh dilihat sebagai objek yang cerah sepanjang Ogos sejak dari awal hingga akhir bulan. Planet ini berada tinggi di tengah langit pada waktu subuh. Menjelang akhir Ogos ia terbit pada awal malam dan berada di tengah langit selepas tengah malam.

ogos2

Buruj yang menghiasi langit pada bulan Ogos ini seperti yang ditunjukkan dalam Peta Bintang Ogos 2010. Di langit Utara buruj Hercules, Cygnus, Lyra, Bootes dan Aquila menguasai langit malam bulan ini. Bintang Arcturus dalam buruj Bootes mengetuai bintang-bintang yang lain sebagai bintang yang paling terang (magnitud -0.05) di langit Utara.  Bintang Vega dalam buruj Lyra mengiringi bintang Arcturus sebagai bintang yang terang di langit Utara dengan magnitud 0.03.

Buruj di langit Selatan, buruj Scorpio, Sagitarius, Centaurus dan Crux masih lagi menguasai langit Selatan.   Buruj Scorpio berada tinggi di langit Selatan pada malam hari, mudah untuk mengenalinya kerana bentuknya yang menarik seperti seekor kala jengking.

Buruj Pegasus mula muncul menyertai buruj-buruj yang lain di langit Utara bulan ini manakala buruj Capricon pula muncul di langit selatan.

Jaluran galaksi Bima Sakti merentasi langit dari Barat-daya hingga ke Timur-laut  dan boleh dilihat dengan mata kasar sekiranya langit tidak berawan dan tiada gangguan dari cahaya lampu atau Bulan. Ia kelihatan seperti awan nipis dan jika dilihat dengan binokular kita akan nampak bertaburan bintang-bintang yang kelihatan amat halus.

Bagi mengenali objek-objek langit bulan ini kita boleh menggunakan peta bintang Ogos 2010. Peta bintang ini menunjukkan bintang, planet, buruj, dan galaksi Bima Sakti. Fasa-fasa bulan yang ditunjukkan merujuk kepada tarikh yang dilabelkan. Saiz bintang menunjukkan kecerahan, bintang yang cerah ditunjukkan dengan saiz titik yang besar. Bintang yang ditunjukkan adalah bintang-bintang yang cerah dengan magnitud  kurang dari 4. Peta bintang ini boleh digunakan untuk langit di Malaysia pada jam 10.00 malam pada awal Ogos, 9.00 malam di pertengahan Ogos dan 8.00 malam di akhir Ogos. Planet yang ditunjukkan untuk awal Ogos.

Panduan cerapan langit malam  menggunakan peta bintang;

Cerapan  langit utara

  • Berdiri menghadap arah Utara.
  • Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label A dan tangan kiri di label B peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Utara di peta bintang sama arah dengan Utara sebenar.

Jika  mencerap diawal bulan Ogos, jam 10.00 malam, anda akan mendapati bintang Vega di tengah peta bintang adalah objek di tengah di langit. Buruj Bootes akan dapat dilihat  di langit Utara. Mulakan mengenali bintang dengan bintang yang cerah dan mudah dikenali seperti Vega dan Arcturus. Seterusnya anda boleh mengenali planet, bintang dan buruj menggunakan peta bintang tersebut.

Cerapan langit selatan

  • Berdiri menghadap arah selatan. Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label B dan tangan kiri pegang di label A peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Selatan di peta bintang sama arah dengan Selatan sebenar. Jika cerapan diawal Ogos, kita boleh melihat buruj Sagitarius dan Scorpio.

Cerapan langit malam perlu dilakukan pada malam yang cerah, kurang berawan atau mendung. Hindari dari gangguan cahaya lampu dengan menutup lampu luar atau halaman. Apabila kita berada dalam persekitaran yang gelap kita akan dapat melihat langit dengan lebih baik. Tunggu beberapa minit sehingga mata kita dapat menyesuaikan dalam keadaan gelap. Lebih lama kita dalam keadaan gelap lebih banyak bintang yang akan dapat di lihat.

ogos3  

 

 

 

 

You are here: Home Teleskope Dr.Kassim Fenomena Astronomi Ogos 2010