Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Fenomena Astronomi Julai 2010

 Gerhana penuh Matahari

 

Bulan Julai 2010 menjadi tumpuan ahli-ahli astronomi kerana pada bulan ini akan berlaku gerhana penuh Matahari. Gerhana ini berlaku  selepas 15 hari gerhana separa Bulan pada 26 Jun lalu (lihat Dewan Kosmik Jun 2010). Pada tahun 2009 juga telah gerhana penuh Matahari. Pada tahun 2009 dan 2010 kedua-dua gerhana tersebut berlaku dalam  bulan Julai tetapi pada tarikh  yang berbeza iaitu pada 22 dan 11 haribulan masing-masing.

Jika pada  tahun 2009 gerhana tersebut telah disaksikan oleh jutaan penduduk Bumi kerana fenomena tersebut merentasi dua buah negara yang padat dengan manusia iaitu China dan India serta beberapa negara yang lain. Manakala pada tahun ini sebahagian besar laluan gerhana penuh ini merentasi kawasan tanpa penduduk kerena ia merentasi lautan Pasifik, hanya sebahagian kecil penduduk Bumi yang akan mengalaminya yang tinggal di pulau-pulau kecil di lautan Pasifik dan sebahagian kecil Amerika Selatan. Jika pada tahun lepas gerhana penuh Matahari berlaku di hemisfera Utara semasa musim panas manakala tahun ini ia berlaku di hemisfera Selatan semasa musim sejuk.

Laluan gerhana penuh Matahari sebenarnya adalah laluan bayang umbra Bulan yang jatuh ke atas permukaan Bumi. Laluan gerhana kali ini sepanjang 11,100 km merentasi hemisfera Selatan bermula dari lautan Pasifik selatan kira-kira 1400 km Timur-laut New Zealand pada jam 18:17 UT. Beberapa minit kemudian bayang umbra ini melalui kepulauan Cook yang mengandungi 15 pulau-pulau kecil. Sepuluh minit kemudian melalui pulau Society dan Tuamotu Archpelago. Seterusnya ia bergerak merentasi pulau Easter yang dikatakan pulau legenda kerana memilikki 887 tugu-tugu monolitik. Tugu-tugu ini berbagai saiz dan berusia ratusan tahun. Pulau ini berkeluasan hanya 166 km persegi dengan penduduk hanya 4,000 orang. Pulau ini boleh dikunjungi dengan penerbangan Chile Airline dari Papeetle dan Santiago. Bilangan pelancong lebih ramai dari penduduk tempatan, setiap tahun lebih dari 50,000 pelancong melawat pulau legenda ini yang diiktiraf sebagai salah satu warisan dunia di bawah UNESCO. Gerhana penuh berlaku di pulau ini tepat pada jam 20:10 UT dengan Matahari berada tinggi di langit. Suasana di pulau ini akan bertukar menjadi gelap ketika gerhana penuh berlangsung selama 4 minit 49 saat di sini.

Bayang Umbra Bulan akan terus bergerak laju merentasi Lautan Pasifik di laluannya sehingga akhirnya mencecah pantai Selatan Chile Selatan dan Argentina Selatan pada 20:52 UT . Gerhana penuh berakhir di sini ketika Matahari ghurub pada jam 5.48 petang waktu tempatan.

gerhanajul10

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Laluan gerhana penuh Matahari pada 11 Julai 2010.

 

 

 

 

 

easter

 

 

 

 

 

 

 

totalecl

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Gerhana penuh Matahari di Shanghai China, 11 Julai 2009. Kelihatan korona

yang berwarna putih di sekeliling Matahari.

 

Gerhana penuh Matahari kali ini tidak dapat dilihat dari Malaysia, Asia  dan Afrika kerana berada di luar dari laluan gerhana penuh dan separa Matahari.

Ketika gerhana penuh Matahari yang sebenarnya berlaku adalah ijtimak antara Bumi, Bulan dan Matahari. Ijtimak lazimnya berlaku pada hari yang ke-29 dalam kalender Islam dan merupakan detik penentu permulaan bulan baru dalam kalender Islam. Mengikut waktu Malaysia kejadian ijtimak tersebut berlaku pada jam 03:40, 29 Rejab 1431H bersamaan 12 Julai 2010. Pada petang tersebut ketika Matahari terbenam pada jam 19:24, hilal berada pada altitud 6° 51' bagi lokasi di Tanjung Bidara Melaka dan ini memberi peluang untuk kita mencerap hilal Syaaban 1431 pada petang tersebut.

Lima hari selepas kejadian gerhana, pada 16 Julai Matahari akan melintasi garis latitud 21°25'. Pada tarikh ini Matahari akan berada di zenith (titik tegak di atas) Kaabah atau Istiwa. Fenomena yang sama telah berlaku pada 28 Mei yang lalu dan telah dijelaskan di dalam Dewan Kosmik Mei 2010, halaman 14. Keadaan ini memberi kita peluang sekali lagi untuk menyemak arah Kiblat pada jam 5.28 petang pada tarikh tersebut.

Sebelum itu, pada 14 Julai,  kita berpeluang melihat himpunan menarik planet-planet dan Bulan di ufuk Barat selepas Matahari ghurub. Planet Zuhal, Marikh, Zuhrah, Utarid dan Bulan sabit serta bintang Regulus dalam buruj Leo akan bersusun secara bertingkat. Utarid berada paling rendah diikuti oleh Bulan sabit, bintang Regulus, Zuhrah, Marikh dan Zuhal. Bulan sabit yang berumur 3 hari (3 Rejab 1431), bintang Regulus dan Zuhrah berdekatan antara satu sama lain pada sudut pisahan 4 dan 5 darjah.

  jul10

Walau bagaimanapun Planet Zuhrah paling hampir dengan Regulus ialah pada 8.00 malam, 10 Julai dengan sudut pisahan hanya 1 darjah sahaja. Kedua-dua boleh dilihat dengan mata kasar di langit Barat pada altitud 31 darjah dari ufuk, mereka kelihatan seperti dua bintang berkembar. Zuhrah cukup terang berbanding Regulus dengan  magnitud -4.1 dan 1.4 masing-masing.

Planet Utarid berada di ufuk Barat sepanjang bulan ini dan pada 27 Julai planet ini kelihatan berada sangat dekat dengan bintang Regulus pada sudut pisahan hanya 0.29 darjah. Kita boleh lihat mereka selepas Matahari terbenam pada altitud 23 darjah. Manakala planet Marikh dan Zuhal kelihatan berdekatan pada sudut pisahan hanya 1.8 darjah pada 31 Julai di langit Barat. Keduanya boleh dilihat selepas Matahari terbenam pada altitud 49 darjah dari ufuk.

Dalam bulan ini juga kita berpeluang melihat planet Musytari di langit pagi sebelum Matahari terbit sepanjang bulan Julai. Planet ini berada tinggi di langit Timur sebelum terbit Matahari. Pada 4 Julai, Musytari kelihatan hampir dengan Bulan pada fasa suku akhir, 21 Rejab mengikut kalender Islam. Mereka berada pada sudut pisahan 7 darjah. Manakala pada 31 Julai, Musytari kelihatan hampir dengan Bulan pada fasa pasca purnama, 19 Syaaban mengikut kalender Islam. Sudut pisahan antara keduanya ialah 6 darjah.

Buruj yang menghiasi langi pada bulan Julai ini seperti yang ditunjukkan dalam Peta Bintang Julai 2010. Di langit Utara buruj Leo tidak lagi menguasai langit malam. Buruj Hercules, Cygnus, Lyra dan Aquila mulai berada di langit Utara. Buruj Cygnus yang digambarkan seperti seekor angsa yang sedang terbang dengan lehernya yang panjang. Buruj ini juga dikenali sebagai palang Utara dan bintang utama dalam buruj ini ialah Deneb (berasal dari perkataan Arab Al Dhanab al Dajajah yang bermaksud ekor ayam). Bintang ini terletak sejauh 1800 tahun cahaya dari Bumi dan merupakan bintang bersaiz besar, diameternya 60 kali ganda dari Matahari. Buruj Bootes dan Ursa Major masih lagi berada di langit Utara.

Buruj di langit Selatan, buruj Scorpio, Sagitarius, Centaurus dan Crux masih lagi menguasai langit Selatan.   Buruj Scorpio dan Sagitarius berada tinggi di langit pada malam hari, mudah untuk mengenalinya kerana bentuknya yang menarik.

Jaluran galaksi Bima Sakti merentasi langit dari Barat-daya hingga ke Timur-laut  dan boleh dilihat dengan mata kasar sekiranya langit tidak berawan dan tiada gangguan dari cahaya lampu atau Bulan. Ia kelihatan seperti awan nipis dan jika dilihat dengan binokular kita akan nampak bertaburan bintang-bintang yang kelihatan amat halus.

Bagi mengenali objek-objek langit bulan ini kita boleh menggunakan peta bintang Julai 2010. Peta bintang ini menunjukkan bintang, planet, buruj, dan galaksi Bima Sakti. Fasa-fasa bulan yang ditunjukkan merujuk kepada tarikh yang dilabelkan. Saiz bintang menunjukkan kecerahan, bintang yang cerah ditunjukkan dengan saiz titik yang besar. Bintang yang ditunjukkan adalah bintang-bintang yang cerah dengan magnitud  kurang dari 4. Peta bintang ini boleh digunakan untuk langit di Malaysia pada jam 10.00 malam pada awal Jun, 9.00 malam di pertengahan Jun dan 8.00 malam di akhir Julai. Planet yang ditunjukkan untuk awal Julai.

Panduan cerapan langit malam  menggunakan peta bintang;

Cerapan  langit utara

Berdiri menghadap arah Utara.

Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label A dan tangan kiri di label B peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Utara di peta bintang sama arah dengan Utara sebenar.

Jika  mencerap diawal bulan Julai, jam 10.00 malam, anda akan mendapati bintang Arcturus di tengah peta bintang adalah objek di atas kepala di langit. Buruj Ursa Major akan dapat dilihat  di langit Utara. Mulakan mengenali bintang dengan bintang yang cerah dan mudah dikenali seperti Spica dan Arcturus. Seterusnya anda boleh mengenali planet, bintang dan buruj menggunakan peta bintang tersebut.

Cerapan langit selatan

  • Berdiri menghadap arah selatan. Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label B dan tangan kiri pegang di label A peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Selatan di peta bintang sama arah dengan Selatan sebenar. Jika cerapan diawal Julai, kita boleh melihat buruj Sagitarius dan Scorpio.

Cerapan langit malam perlu dilakukan pada malam yang cerah, kurang berawan atau mendung. Hindari dari gangguan cahaya lampu dengan menutup lampu luar atau halaman. Apabila kita berada dalam persekitaran yang gelap kita akan dapat melihat langit dengan lebih baik. Tunggu beberapa minit sehingga mata kita dapat menyesuaikan dalam keadaan gelap. Lebih lama kita dalam keadaan gelap lebih banyak bintang yang akan dapat di lihat.

Peta Bintang Bulan Julai 2010

starchjul10

Disediakan oleh

Dr(H) Kassim bin Bahali

Ketua Bahagian Falak

Kompleks Falak Al-Khawarizmi

Jabatan Mufti Melaka

 

 

 

You are here: Home Teleskope Dr.Kassim Fenomena Astronomi Julai 2010