Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Fenomena Astronomi Jun 2010

GERHANA SEPARA BULAN

Fenomena astronomi  Jun 2010 mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana pada bulan ini akan berlaku gerhana separa Bulan.  Gerhana ini boleh dilihat bermula di Asia Timur, Australia, New Zealand dan Pasifik selepas Matahari terbenam dan berakhir  di Barat Amerika Utara dan Selatan. Gerhana Bulan berlaku  apabila Bumi berada di antara Bulan dan Matahari.

Bulan tidak mengeluarkan cahayanya sendiri tetapi ia menerima cahaya dari Matahari. Cahaya Matahari yang jatuh ke atas permukaan Bulan akan dipantulkan semula. Bulan mengorbit Bumi dalam tempoh 29.5 hari satu pusingan. Semasa Bulan mengorbit Bumi, kedudukannya  akan sentiasa berubah dan ini menyebabkan terjadinya perubahan bentuk Bulan yang dapat dilihat dari Bumi yang dinamakan fasa Bulan.  Fasa Bulan bermula dari fasa Ijtimak diikuti fasa suku awal dan seterusnya fasa purnama.  Kemudian fasa ini akan berkurang menjadi fasa suku akhir dan kembali ke fasa Ijtimak.  Semasa fasa purnama,  permukaan Bulan yang menerima cahaya menghadap Bumi sepenuhnya. Kejadian gerhana Bulan hanya boleh berlaku ketika fasa purnama dan hanya apabila seluruh  atau sebahagian Bulan   memasukki bayang Bumi. Cahaya Matahari yang jatuh ke atas Bumi menyebabkan sebahagian Bumi terang (siang) dan juga  mengakibatkan bayang Bumi mengunjur ke angkasa.  Terdapat dua bahagian bayang, di bahagian dalam dan luar bayang. Bayang bahagian dalam dinamakan umbra dan bahagian luar dinamakan penumbra. Umbra lebih gelap dari penumbra.  Sekiranya ketika Bulan purnama, ia memasukki kawasan bayang akan mengakibatkan terjadinya gerhana. Jika seluruh Bulan memasukki umbra, gerhana penuh akan berlaku. Sekiranya hanya sebahagian Bulan  memasukki umbra, gerhana separa yang akan berlaku dan jika Bulan hanya memasukki penumbra sahaja, gerhana penumbra yang akan terjadi.

gerhanalunarRajah 1: Gerhana Bulan

Walau bagaimana pun gerhana Bulan tidak berlaku setiap bulan.  Ini disebabkan satah orbit Bulan condong sebesar 5 darjah berbanding dengan satah orbit Bumi. Gerhana hanya berlaku sekiranya Bulan melalui satah orbit Bumi.

Pada 26 Jun 2010, gerhana separa yang terjadi disebabkan  hanya sebahagian Bulan yang memasukki umbra. Maksimum bahagian Bulan yang memasukki umbra  adalah 0.5368 dari seluruh Bulan. Nilai ini dinamakan magnitud gerhana. Bulan akan mula menyentuh penumbra pada 16:57 kemudian menyentuh umbra pada 18:16. Gerhana separa maksimum berlaku pada 19:39. Tempoh gerhana separa selama 2 jam 43 minit.  Gerhana bulan boleh dilihat dengan mata kasar tanpa perlu menggunakan penapis cahaya.  Di Malaysia, kita tidak dapat melihat sentuhan Bulan pada penumbra dan umbra kerana  ketika Bulan terbit  gerhana telah pun bermula. Bulan terbit di Timur pada jam 19:19. Ketika ia terbit, Bulan tidak kelihatan penuh,  sebahagian Bulan telah pun mengalami gerhana. Pada  19:39 gerhana separa maksimum akan berlaku. Selepas itu ia bergerak keluar meninggalkan umbra pada 21:00. Gerhana akan berakhir sepenuhnya apabila Bulan meninggalkan penumbra dan ia akan kelihatan kembali seperti Bulan purnama normal pada jam 22:20.

gerhanabulanjun10

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Rajah 2: Waktu sentuhan gerhana separa Bulan pada 26 Jun 2010. Sentuhan pertama,P1: 16:58, sentuhan keduaP2: 18:17;  maksimum P3: 19:39;  sentuhan keempat P4: 21:00; P5: 22:20.

 

 

 

 

 

 

 

 

 bulanjun2010

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Rajah 3 : Ilustrasi gerhana separa Bulan 26 Jun 2010, ketika terbit di Timur

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pada 13 Jun, kita berpeluang untuk melihat hilal Rejab 1431H yang berumur 24 jam dan altitudnya 12 darjah ketika Matahari terbenam pada jam 19:19. Jika cuaca di ufuk Barat cerah kita berpeluang melihat hilal dengan mata kasar.

Pada 17 Jun kita berpeluang melihat Bulan sabit 5 Rejab 1431 berada hampir dengan planet Zuhrah di langit Barat selepas  Matahari terbenam. Kedua-duanya berada pada sudut pisahan empat darjah. Bulan pada hari ini berada dekat dengan Bumi pada jarak 365,964 km berbanding dengan jarak puratanya 384,000km.

Pada 21 Jun Matahari berada pada deklinasi yang maksimum, 23.5 darjah, di hemisfera Utara dan berada paling jauh dari Khatulisiwa.  Fenomena astronomi ini dinamakan Solstis. Bagi penduduk di hemisfera Utara akan mengalami siang lebih panjang dari malam seperti di Anchorage, Alaska, Matahari terbit pada 4.20 pagi dan terbenam pada 11.42 malam. Manakala di hemisfera selatan mengalami  malam lebih panjang dari siang. Ini disebabkan pada tarikh tersebut paksi di Utara Bumi mengarah kepada matahari manakala di Selatan menjauhi Matahari.

Pada 24 Jun, Bulan berada hampir dengan bintang Anteres pada sudut pisahan 1.8 darjah. Antares bintang yang cerah dalam buruj Scorpio. Kedua-duanya boleh dilihat di langit Timur mulai jam 8.00 malam.

Planet Marikh masih boleh dilihat di langit sepanjang bulan ini dan pada jam 8.00 malam, 6 Jun, ia berada tinggi di tengah langit dan berdampingan dengan bintang Regulus dengan sudut pisahan 0.9 darjah. Satu pandangan yang menarik, kedua-duanya kelihatan seperti bintang berkembar. Regulus adalah bintang yang paling cerah dengan magnitud 1.4 dalam buruj Leo dan Marikh pada malam ini, magnitudnya 1.2 dengan berwarna merah. Ini menunjukkan kedua-duanya hampir sama cerah.  

Selain Marikh, planet Zuhal juga boleh dilihat pada malam yang sama juga berada tinggi di tengah langit. Zuhal pula berdampingan dengan bintang Zavijaya dalam buruj Virgo dengan sudut pisahan 1.8 darjah. Bintang ini juga cerah dengan magnitud 3.4.

Sebelum itu pada tarikh yang sama, jam 6:00 pagi planet Musytari  dan bulan tua 23 Jamadil Akhir 1431 berdekatan di langit. Kedua-duanya boleh dilihat berdekatan pada sudut pisahan 7 darjah, tinggi di langit Timur. Pagi ini Musytari  seperti satu bintang yang sangat terang dengan magnitud      -2.4.       

Bulan Jun turut dihiasi dengan beberapa buruj menarik seperti yang ditunjukkan pada rajah peta bintang Jun 2010. Diantara buruj yang boleh dilihat sepanjang bulan ini, di langit Utara ialah Ursa Major, Bootes, Leo dan Hercules manakala di langit Selatan buruj Scorpio, Libra, Corvus, Pari, Sagitarius dan Centaurus.

Di langit Utara buruj Ursa Major  mudah untuk dikenali kerana bentuknya seperti gayung dan bintang-bintang di dalamnya cerah seperti Dubhe dan Merak. Buruj ini terkenal kerana menjadi panduan untuk menunjukkan arah Utara. Selain itu buruj Bootes berada tinggi di tengah langit, mudah mengenalinya kerana bintang Arcturus berada di dalamnya. Arcturus merupakan bintang yang paling terang di langit Utara dengan magnitudnya -0.05.

Di langit Selatan, buruj Scorpio menjadi tarikan utama kerana bentuknya seperti kala jengking.Bulan ini paling baik untuk mencerapnya kerana ia akan berada di langit hampir sepanjang malam. Menurut Giles Sparrow, buruj ini diantara buruj yang tertua yang pernah direkodkan. Bintang Antares berwarna merah, bintang yang paling terang dalam buruj ini dengan magnitud 1.0 dan bintang yang ke15 cerah di langit. Ia terletak pada jarak 600 tahun cahaya dari Bumi. Antares juga dikenali sebagai bintang raksaksa merah dengan diameter  0.75 diameter orbit Musytari. Ia juga mempunyai luminositi 10,000 kali berbanding dengan Matahari dan jisim 16 kali ganda dari jisim Matahari.

Selain itu buruj yang menarik menghiasi langit selatan ialah buruj Sagitarius, Capricon, Corvus dan Pari. Buruj Pari yang menjadi panduan arah selatan merupakan buruj yang terkecil di langit. Buruj ini sangat terkenal dalam beberapa budaya di dunia dan menjadi simbol bagi bendera kebangsaan beberapa buah negara di antaranya ialah Australia, New Zealand, Papua New Guinea dan beberapa negara lain.

Bulan ini juga memberi kita peluang untuk mengenali galaksi Bima Sakti kerana ia akan menghiasi langit sepanjang malam dalam bulan ini. Jika cuaca baik dan tiada cahaya bulan atau cahaya lampu luar kita berpeluang melihat galaksi ini. Ia boleh dilihat dengan mata kasar, ia kelihatan seperti jaluran awan yang nipis dengan bintang-bintang yang halus di dalamnya.

Bagi mengenali objek-objek langit bulan ini kita boleh menggunakan peta bintang Jun 2010. Peta bintang ini menunjukkan bintang, planet, buruj, dan galaksi Bimasakti. Fasa-fasa bulan yang ditunjukkan merujuk kepada tarikh yang dilabelkan. Saiz bintang menunjukkan kecerahan, bintang yang cerah ditunjukkan dengan saiz titik yang besar. Bintang yang ditunjukkan adalah bintang-bintang yang cerah dengan magnitud  kurang dari 4. Peta bintang ini boleh digunakan untuk langit di Malaysia pada jam 10.00 malam pada awal Jun, 9.00 malam di pertengahan Jun dan 8.00 malam di akhir Jun. Planet yang ditunjukkan untuk pertengahan Jun.

Panduan cerapan langit malam  menggunakan peta bintang;

Cerapan  langit utara

  • Berdiri menghadap arah Utara.
  • Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label A dan tangan kiri di label B peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Utara di peta bintang sama arah dengan Utara sebenar.

Jika  mencerap diawal bulan Jun, jam 10.00 malam, anda akan mendapati bintang Arcturus di tengah peta bintang adalah objek di atas kepala di langit. Buruj Ursa Major akan dapat dilihat  di langit Utara. Mulakan mengenali bintang dengan bintang yang cerah dan mudah dikenali seperti Regulus dan Arcturus. Seterusnya anda boleh mengenali planet, bintang dan buruj menggunakan peta bintang tersebut.

Cerapan langit selatan

  • Berdiri menghadap arah selatan. Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label B dan tangan kiri pegang di label A peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Selatan di peta bintang sama arah dengan Selatan sebenar. Jika cerapan diawal Jun, kita boleh melihat buruj Crux dan Scorpio.

Cerapan langit malam perlu dilakukan pada malam yang cerah, kurang berawan atau mendung. Hindari dari gangguan cahaya lampu dengan menutup lampu luar atau halaman. Apabila kita berada dalam persekitaran yang gelap kita akan dapat melihat langit dengan lebih baik. Tunggu beberapa minit sehingga mata kita dapat menyesuaikan dalam keadaan gelap. Lebih lama kita dalam keadaan gelap lebih banyak bintang yang akan dapat di lihat.    

  petajun2010

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


You are here: Home Teleskope Dr.Kassim Fenomena Astronomi Jun 2010