Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Fenomena Astronomi Mei 2010


MATAHARI DI ATAS KAABAH

Jika pada awal tahun ini sebahagian negara di hemisfera Utara mengalami musim sejuk yang melampau tetapi pada bulan ini (Mei) negara-negara berkenaan mengalami musim panas. Keadaan ini disebabkan Matahari  telah bergerak  dari hemisfera Selatan ke hemisfera Utara. Matahari berada di hemisfera Utara selama 6 bulan mulai 21 Mac hingga 21 September.  Dalam tempoh tersebut Matahari akan bergerak dalam laluannya dari garis Khatulistiwa hingga ke garis latitud 23.4° Utara pada 21 Jun. Selepas dari tarikh ini ia akan beransur bergerak turun hingga ke Khatulistiwa semula  pada 21 September. Keadaan yang sebenarnya berlaku bukanlah Matahari bergerak mengelilinggi Bumi tetapi Bumi mengorbit Matahari dan akibat kecondongan paksi Bumi sebanyak 23.5° menyebabkan berlakunya perubahan musim tersebut.

kaabahPekara yang menarik semasa Matahari bergerak ke hemisfera Utara, ia akan melintasi Kaabah di Mekah, tempat suci bagi umat Islam. Ia akan melintasi Kaabah sebanyak dua kali setiap tahun iaitu pada 28 Mei dan 16 Julai. Apa yang sebenarnya berlaku pada tarikh tersebut Matahari melintasi garis  latitud 21° 25' dan Kaabah terletak pada garis latitud yang sama. Pada tarikh tersebut ketika Matahari melintasi meridian Kaabah sudut istiwa Matahari bersamaan dengan latitud Kabaah. Dalam keadaan  tersebut Matahari  akan berada tepat di zenith (titik tegak di atas) Kaabah. Fenomena Matahari berada tepat di titik zenith ketika melintasi meridian sesuatu tempat dinamakan Istiwa. Fenomena Istiwa tersebut berlaku pada 28 Mei jam 12.16 dan 16 Julai 12.28 waktu Mekah manakala waktu di Malaysia ialah 5.16 petang dan 5.28 petang masing-masing. Ketika waktu tersebut bayang objek yang tegak lurus seperti tiang akan menghala ke Kaabah. Berdasarkan fenomena ini memberi peluang umat Islam untuk menentukan atau menyemak arah kiblat di tempat masing-masing pada petang tersebut. Dengan menggunakan objek yang lurus seperti pembaris atau tiang, tegakkannya di kawasan yang mendapat cahaya Matahari secara terus pada waktu tersebut. Bayang objek tersebut  adalah menghala ke arah kiblat. Jika kita berdiri di hujung bayang dengan menghadap objek tersebut sebenarnya kita sedang berdiri menghadap kiblat.

 

 

Ilustrasi; Matahari di atas Kaabah ketika Istiwa


 

melaka

 

  Matahari  dan bayang tiang pada 5:16petang, 28 Mei di Malaysia, pada waktu yang sama Matahari sedang mengalami Istiwa di Kaabah.  

 

 


 

 

Planet Zuhrah, di antara planet yang menghiasi langit pada bulan ini. Ia boleh dilihat di langit Barat selepas Matahari ghurub. Pada 4 Mei planet ini berdekatan dengan bintang Aldebaran dalam buruj Taurus dengan  pisahan sudut sebanyak 6 darjah.

 

Pada 16 Mei ia akan mengalami penghijaban (occultation) dengan Bulan. Penghijaban ialah fenomena apabila satu jasad sistem suria melintasi di hadapan bintang, asteroid, planet atau objek yang lebih jauh menyebabkan sebahagian atau seluruh jasad tersebut terlindung cahayanya. Setiap penghijaban hanya boleh dilihat pada waktu yang tepat dan di sebahagian lokasi tertentu sahaja di Bumi.

 

Pada petang 16 Mei, Bulan pada fasa sabit yang dikatakan bulan muda, baru berumur 3 hari bagi bulan Jamadil Akhir 1431H.  Ini satu fenomena yang menarik kerana pada petang tersebut kita akan melihat planet Zuhrah kelihatan seperti satu bintang yang terang  akan ditutupi sepenuhnya oleh bulan sabit. Bagi lokasi Tanjung Bidara Melaka, penghijaban bermula pada 7:33 petang pada altitud 24.4 darjah dan azimuth 296.3 darjah. Zuhrah akan dihijab oleh Bulan selama 61 minit. Kemudian ia akan muncul semula setelah penghijaban berakhir pada 8:34 malam pada altitud 10.8 darjah dan azimuth 294.8 darjah. Penghijaban ini boleh di lihat di seluruh Malaysia tetapi waktu mula dan akhir penghijaban berbeza beberapa minit. Negara-negara di Asia Tenggara, India, Timur tengah dan sebahgian Afrika juga mengalami peristiwa penghijaban ini.

zuhra

Planet Utarid  antara planet  yang muncul di langit Mei ini. Utarid muncul di ufuk Timur pada waktu pagi sebelum terbit Matahari mulai dari 8 Mei hingga akhir bulan. Pada 8 Mei ia terbit pada 6.10 pagi ia kelihatan seperti bulan sabit yang kecil kemudian saiznya bertambah besar di akhir bulan. Pada 31 Mei, ia terbit pada 5.28 pagi, saiz fasanya bertambah hingga 47.8% dengan maksimum altitud 22 darjah sebelum terbit Matahari. Pada 12 Mei, Utarid akan berhampiran dengan bulan sabit tua 27 JamadilAwal 1431H dan fenomena ini boleh dilihat sebelum terbit Matahari.

 

7:33 petang, mula Penghijaban, Zuhrah seperti bintang terang di atas Bulan akan hilang kerana ditutupi Bulan.

 

bulanmei

 

 

 

 

 

 

 

 

Selain Utarid, planet Musytari juga muncul di langit Timur sepanjang bulan ini. Pada 10 Mei Musytari bersama-sama dengan Bulan sabit tua 25 JamadilAwal 1431H terbit di ufuk Timur. Pada jam 6.00 pagi kedua-duanya dapat dilihat berdekatan pada altitud 33 darjah dengan sudut pisahan 7 darjah. Dengan menggunakan binokular atau teleskop kecil kita boleh melihat satelit-satelit utamanya.

Pada 20 Mei, fasa bulan hampir separuh atau suku awal, berada hampir dengan planet Marikh. Kedua-duanya boleh dilihat tinggi di tengah langit pada awal malam sehingga mereka terbenam di Barat selepas tengah malam.

Pada 23 Mei, Bulan berada hampir dengan planet Zuhal yang telah mengalami Istiqbal dengan Bumi pada bulan Mac 2010 (lihat Dewan Kosmik Mac 2010, m.s 38). Mereka berdua boleh dilihat tinggi di langit Timur diawal malam. Zuhal berada di dalam buruj Virgo dan berdekatan dengan bintang Zavijaya(asal dari Arab زاوية العوى "Zawiyat al-‘awwa")  yang mempunyai magnitud 3.59. Sudut pisahan di antara keduanya ialah 1.8 darjah. Apa yang menarik mengenai bintang ini, saintis mendapati bintang ini mempunyai dua atau tiga planet bersaiz seperti Musytari mengelilinginya.

 

Pada 24 Mei, Bulan berada hampir dengan bintang Spica yang berada dalam buruj Virgo. Spica adalah bintang yang ke-15 terang di langit dan merupakan bintang kembar yang terang, ia terletak sejauh 260 tahun cahaya dari Bumi.

Pada 28 Mei, Bulan purnama terbit 7:40 petang di ufuk Timur selepas Matahari terbenam di Barat. Kita akan melihat ia di langit hampir dengan bintang Antares yang berwarna merah dalam buruj Scorpio. Kedua-duanya boleh dilihat sepanjang malam di langit dan melintasi tengah langit selepas tengah malam dengan sudut pisahan antara keduanya ialah 5 darjah.

Buruj-buruj yang menghiasi langit dalam bulan ini seperti yang ditunjukkan di dalam peta bintang Mei 2010. Di langit Utara, buruj Ursa Major yang menjadi pedoman menetukan arah Utara, masih lagi menguasai langit. Begitu juga dengan buruj Leo, Gemini dan Bootes. Buruj Bootes mempunyai bintang Arcturus yang paling terang dalam buruj ini merupakan bintang yang ke-3 terang di langit dengan magnitud -0.05. Buruj Orion mula beransur-ansur ke langit Barat dan akan meninggalkan penguasaannya di langit bulan ini.

Manakala di langit selatan, buruj Crux atau Pari yang menjadi pedoman arah selatan menguasai langit selatan. Begitu juga buruj Scorpio yang besar dan mudah di kenali kerana bentuknya seperti kala jengking. Buruj Corvus, Centaurus, Carina dan Canis Major masih lagi dapat dilihat di langit selatan.

Jaluran galaksi Bimasakti menghiasi terutamanya langit Selatan hingga ke Barat-laut. Galaksi ini boleh dilihat dengan mata kasar dalam keadaan langit yang tidak berawan dan tiada cahaya Bulan atau limpahan cahaya lampu. Dari awal  hingga pertengahan bulan ini waktu yang sesuai untuk mencerap Bimasakti kerana cahaya Bulan tidak sepanjang malam.

Bagi mengenali objek-objek langit bulan ini kita boleh menggunakan peta bintang Mei 2010. Peta bintang ini menunjukkan bintang, planet, buruj dan galaksi Bimasakti. Saiz bintang menunjukkan kecerahan, bintang yang cerah ditunjukkan dengan saiz titik yang besar. Bintang yang ditunjukkan adalah bintang-bintang yang cerah dengan magnitud  kurang dari 4. Peta bintang ini boleh digunakan untuk langit di Malaysia pada jam 10.00 malam pada awal Mei, 9.00 malam di pertengahan Mei dan 8.00 malam di akhir Mei. Planet yang ditunjukkan untuk pertengahan Mei.

 

Panduan cerapan langit malam  menggunakan peta bintang;

Cerapan  langit utara

i. Berdiri menghadap arah Utara.

 ii. Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label A dan tangan kiri di label B peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Utara di peta bintang sama arah dengan Utara sebenar.

Jika  mencerap diawal bulan, jam 10.00 malam, anda akan mendapati planet Zuhal di tengah peta bintang adalah objek di atas kepala di langit. Buruj Ursa Major dan Leo akan dapat dilihat  berada di langit Utara. Mulakan mengenali bintang dengan bintang yang cerah dan mudah dikenali seperti Regulus dan Arcturus. Seterusnya anda boleh mengenali planet, bintang dan buruj menggunakan peta bintang tersebut.

Cerapan langit selatan

i. Berdiri menghadap arah selatan. ii. Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label B dan tangan kiri pegang di label A peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Selatan di peta bintang sama arah dengan Selatan sebenar.

Cerapan langit malam perlu dilakukan pada malam yang cerah, kurang berawan atau mendung. Hindari dari gangguan cahaya lampu dengan menutup lampu luar atau halaman. Apabila kita berada dalam persekitaran yang gelap kita akan dapat melihat langit dengan lebih baik. Tunggu beberapa minit sehingga mata kita dapat menyesuaikan dalam keadaan gelap. Lebih lama kita dalam keadaan gelap lebih banyak bintang yang akan dapat di lihat.

 petmei

 

You are here: Home Teleskope Dr.Kassim Fenomena Astronomi Mei 2010