Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

Fenomena astronomi April 2010


Diantara peristiwa bersejarah yang penting dalam penerokaan angkasa lepas yang berlaku dalam bulan April ialah pelancaran kapal angkasa ulang alik yang pertama. Kapal angkasa yang diberi nama Columbia   telah berjaya melaksanakan misinya mengorbit Bumi pada 12 April 1981. April tahun ini merupakan ulangtahun yang ke 29 kejayaan kapal angkasa ulang alik   yang pertama dalam sejarah penerokaan angkasa lepas. Kali pertama Columbia  telah dipandu oleh John W. Young dan Robert I. Crippen dan telah berjaya mengorbit Bumi selama dua hari selepas dilancarkan di Pusat Angkasa lepas Kennedy.

Diantara fenomena astronomi yang berlaku dalam bulan ini ialah kemunculan Bulan di ufuk Timur berhampiran dengan bintang Antares pada 4 April. Bulan yang memasuki fasa suku akhir dan Antares boleh dilihat  di ufuk Timur selepas tengah malam, mereka berada berdekatan pada jarak sudut pisahan 4 darjah. Kedua-duanya akan berada di tengah langit pada jam 5.00 pagi. Bintang ini berwarna kemerahan merupakan bintang paling terang dan paling besar dalam Buruj Scorpio.  Saiznya 800 kali dari  Matahari. Buruj Scorpio berada di langit selatan, mudah dikenali dan kelihatan cantik kerana menyerupai seperti seekor kala jengking. Buruj ini dikenali sebagai Al-Akrab dalam tamaddun Islam, buruj ini juga dikenali dalam tamaddun Parsi, China dan India.

Bulan ini kita berpeluang untuk mencerap dengan mata kasar beberapa planet iaitu planet Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal.  Bulan ini adalah paling baik untuk mencerap planet Utarid mulai awal April hingga 15 April. Utarid planet yang pertama dalam sistem suria, saiznya sepertiga diameter Bumi. Utarid merupakan planet yang sukar dilihat disebabkan ia berada paling hampir dengan Matahari dan orbitnya di sebelah dalam dibandingkan dengan orbit Bumi. Ia hanya boleh dilihat di langit Timur atau Barat sebelum terbit atau selepas terbenam Matahari. Pada 3 April, selepas Matahari terbenam di ufuk Barat, Utarid dan planet Zuhrah akan kelihatan berdekatan pada sudut pisahan 3 darjah. Utarid berada rendah sedikit dari Zuhrah dan Zuhrah kelihatan lebih cerah dari Utarid. Ia berada paling tinggi di langit ketika ia mengalami elongasi yang paling besar pada 8 April. Ia berada pada altitud 16 darjah dari ufuk ketika Matahari terbenam. Kita berpeluang melihat planet ini selama 70 minit di atas ufuk sebelum ia terbenam pada 7.28 malam di ufuk Barat.

zuhrah1642010

Pada masa yang sama Zuhrah planet yang kedua dalam sistem Suria juga boleh dilihat di langit Barat. Planet ini lebih mudah dilihat kerana lebih cerah dibandingkan dengan Utarid. Ia kelihatan seperti bintang yang terang di langit. Ia boleh dilihat dilangit senja sepanjang bulan April dan merupakan objek samawi yang paling  terang di langit. Di awal April selepas Matahari terbenam, ia berada pada ketinggian 18 darjah dari ufuk, pada pertengahan April pada ketinggian 20 darjah dan akhir bulan pada 24 darjah. Pada 16 April ketika Matahari ghurub ia berada hampir dengan Bulan pada sudut pisahan 4 darjah dan mudah dilihat dengan mata kasar kerana ia agak tinggi pada altitud 20 darjah.

Manakala pada 17 April kita berpeluang melihat himpunan menarik  planet  Utarid, Zuhrah,  Bulan,  bintang tujuh beradik (Plaeides) dan Aldebaran di langit Barat selepas Matahari terbenam.  Objek-objek tersebut  berada dalam satu susunan bertingkat dari ufuk, Utarid berada paling rendah diikuti oleh Zuhrah, Plaeides, Bulan dan Aldebaran di atas.  Bulan dan Plaeides berada rapat dengan Bulan dengan sudut pisahan 2 darjah.

 

apr172010

 Marikh juga boleh dilihat  tinggi seperti bintang berwarna merah di tengah langit sepanjang Bulan ini pada awal malam. Pada jam 10 malam 22 April Marikh kelihatan berada hampir dengan Bulan pada sudut pisahan 5 darjah. Bulan pada malam ini dalam fasa suku awal. Ia juga kelihatan hampir dengan bintang Asellus Australis pada sudut pisahan 2 darjah. Pada akhir bulan Marikh terbenam selepas jam 2.00 pagi.

Musytari telah berubah kedudukan ke langit Timur sebelah pagi mulai awal bulan ini.  Ia boleh dilihat seperti bintang yang terang di langit Timur awal pagi sebelum terbit Matahari sepanjang bulan ini. Pada jam 6.00 pagi, 12 April , Musytari kelihatan berdekatan dengan Bulan sabit RabiulAkhir 1431 pada sudut pisahan 6 darjah. Ia berada pada altitud 10 darjah dari ufuk Timur selepas terbit pada jam 5.14 pagi. Selepas Matahari terbit pada jam 7.07 pagi, Musytari sukar untuk dilihat dengan mata kasar kerana tenggalam dalam kecerahan sinar Matahari.

Zuhal planet yang mempunyai gelang,  boleh dilihat dengan mata kasar seperti satu bintang yang berwarna kekuningan sepanjang bulan ini. Di awal bulan pada jam 10 malam, lihat di langit Timur ia kelihatan tinggi pada altitud 50 darjah dan di tengah langit di akhir bulan. Pada jam 10 malam 25 April Zuhal berada hampir dengan Bulan pada sudut pisahan 7.5 darjah berdekatan tengah langit. Dengan menggunakan binokular atau teleskop kecil kita dapat melihat gelangnya yang cantik melingkari planet tersebut.


 

petaapril2010

 

Berpandukan peta bintang di rajah 1, beberapa buruj yang menarik boleh dilihat di langit. Di sebelah langit utara terdapat buruj di antaranya ialah Leo, Ursa Major, Auriga, Bootes dan Gemini. Manakala di langit selatan terdapat buruj seperti Virgo, Corvus, Canis Major, Centaurus, Crux dan Carina. Buruj Leo atau Asad berada di langit malam sepanjang bulan ini. Buruj ini digambarkan seperti seekor singa dengan bintang Regulus bintang yang paling terang dalam buruj ini terletak di kaki singa manakala bintang Denebola terletak di ekornya. Pada jam 10 malam buruj ini berada di tengah langit dan pada 23 April Bulan berada pada sudut pisahan 4 darjah dengan bintang Regulus.

Selain dari itu buruj Ursa Major atau Biduk, turut menghiasi di langit Utara. Buruj ini menjadi panduan bagi mengetahui arah Utara. Bintang Merak dan Dubhe bintang yang terang dalam buruj ini menjadi penunjuk arah kutub Utara. Jika menggunakan binokular kita dapat melihat sistem bintang berganda iaitu bintang Mizar dan Alcor. Kedua-duanya kelihatan sangat rapat dengan sudut pisahan kurang dari satu darjah. Mizar dan Alcor dengan jarak dari Matahari ialah  78 dan 81 tahun cahaya masing-masing.

Di timur Ursa Major terletak buruj Bootes yang mengandungi bintang Arcturus . Bintang ini merupakan bintang yang ketiga terang di langit selepas Sirius dan Canopus. Kecerahannya 110 kali ganda dibandingkan dengan Matahari. Ia terletak sejauh 37 tahun cahaya dari Matahari. Jika kita berada di pulau Hawaii pada musim panas bintang ini akan berada di zenith iaitu titik yang terletak tegak di atas kepala.

Di langit selatan kita boleh melihat buruj Centaurus sepanjang April, buruj ini mengandungi dua bintang terang iaitu Hadar dan Alpha Centauri dengan magnitud 0.6 dan 1.35 masing-masing.  Alpha Centauri merupakan bintang yang kedua hampir dengan Bumi pada jarak 4.35 tahun cahaya. Bersebelahan dengan Centaurus kita boleh melihat buruj Crux yang menjadi panduan arah Selatan. Terdapat empat bintang terang dalam buruj ini yang membentuk corak seperti layang-layang atau palang.

Bagi mengenali objek-objek langit bulan ini kita boleh menggunakan peta bintang seperti di sertakan. Peta bintang ini menunjukkan bintang, planet, buruj dan galaksi Bima Sakti. Saiz bintang menunjukkan kecerahan, bintang yang cerah ditunjukkan dengan saiz titik yang besar. Bintang yang ditunjukkan adalah bintang-bintang yang cerah dengan magnitud  kurang dari 4.

Peta bintang ini boleh digunakan untuk langit di Malaysia pada jam 10.00 malam pada awal April, 9.00 malam di pertengahan April dan 8.00 malam di akhir April. Planet yang ditunjukkan untuk pertengahan April. Kedudukan bulan seperti pada tarikh-tarikh yang ditunjukkan.

Panduan cerapan langit malam  menggunakan peta bintang;

Cerapan  langit utara

i. Berdiri menghadap arah Utara. ii. Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label A dan tangan kiri di label B peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Utara di peta bintang sama arah dengan Utara sebenar.

Jika  mencerap diawal bulan, jam 10.00 malam anda akan dapati bintang Regulus dalam buruj Leo yang di tengah peta bintang adalah bintang di tengah langit. Marikh juga boleh dilihat tinggi di tengah langit. Buruj Ursa Major boleh  dilihat  berada diantara altitud 20-40 darjah di langit Utara. Mulakan mengenali bintang dengan bintang yang cerah dan mudah dikenali. Seterusnya anda boleh mengenali planet, bintang dan buruj berpandukan peta bintang tersebut.

Cerapan langit selatan

i. Berdiri menghadap arah selatan. ii. Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label B dan tangan kiri pegang di label A peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas kepala dan Selatan di peta bintang sama arah dengan Selatan sebenar. Di awal April kita boleh melihat buruj Centaurus dan Crux rendah di langit selatan.

Cerapan langit malam perlu dilakukan pada malam yang cerah, kurang berawan atau mendung. Hindari dari gangguan cahaya lampu dengan menutup lampu luar atau halaman. Apabila kita berada dalam persekitaran yang gelap kita akan dapat melihat langit dengan lebih baik. Tunggu beberapa minit sehingga mata kita dapat menyesuaikan dalam keadaan gelap. Lebih lama kita dalam keadaan gelap lebih banyak bintang yang akan dapat di lihat.

You are here: Home Teleskope Dr.Kassim Fenomena astronomi April 2010